Dua emas mudah daripada memanah


SKUAD memanah negara yakin untuk membawa pulang dua pingat emas dari Laos.


MELIHAT kepada pencapaian skuad memanah negara yang tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas sejak tiga edisi sebelum ini, tidak mustahil ia mampu diulangi pada temasya Sukan SEA ke-24 di Vientiane, Laos bulan depan.

Sasaran skuad memanah kali ini cukup realistik iaitu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi mana-mana empat acara dalam kategori recurve iaitu lelaki individu, lelaki berpasukan, wanita individu atau wanita berpasukan.

Empat lagi acara yang sama bagi kategori compound pula tidak disasarkan pingat emas berdasarkan prestasi semasa skuad negara tetapi berkemungkinan mereka juga mampu menjelmakan warna pingat yang lain sama ada perak atau gangsa.




Jurulatih skuad memanah kebangsaan, Lee Jae-Hyung berkata, sasaran dua pingat emas itu mampu dicapai andai pemanah-pemanah recurve negara dapat menterjemahkan kemampuan mereka sepanjang sesi latihan ketika ini pada saingan sebenar dari 13 hingga 16 Disember depan.

"Bagi acara lelaki, kita akan mempertaruhkan dua senior, Cheng Chu Sian dan Wan Khalimizam Wan Abd. Aziz bersama dua pemanah muda iaitu Arif Farhan Ibrahim Putra dan Fazli Hisham Fauzi.

"Acara wanita pula, harapan digalas pada S. Anbarasi, Noor Aziera Taib, Nur Amirah Mohamed dan Fepriyenita Anuar.

"Mereka sudah berkumpul semula selepas cuti persekolahan dan juga pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) kecuali Fepriyenita yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini.

"Berdasarkan dua sesi latihan (9 hingga 11.30 pagi dan 2.30 hingga 5.30 petang) pada setiap hari kecuali Ahad, saya rasa tempoh dua minggu ini cukup untuk mereka memperkemaskan gaya panahan," katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil petang kelmarin.

Di sebalik keyakinan untuk membawa pulang dua pingat emas dari Laos, Jae-Hyung tetap berhati-hati dengan beberapa negara yang disifatkannya sebagai pencabar utama iaitu Indonesia, Thailand, Myanmar dan Filipina.

"Apa yang kita harapkan, Chu Sian dan Wan Khalmizam dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka manakala Arif Farhan dan Fazli Hisham pula tidak gugup dan tertekan pada hari pertandingan," ujar Jae-Hyung.

Pada Sukan SEA 2007 di Korat, dua pingat emas negara disumbang oleh Chu Sian pada acara recurve individu lelaki dan satu lagi menerusi acara recurve berpasukan lelaki.

Skuad memanah negara akan berlepas ke Vientiane pada 10 Disember depan. KOSMO

0 comments:

Post a Comment

top