Skuad menembak sasar bawa pulang empat emas


BIBIANA (kanan) Nur Suryani bakal jadi teraju utama harapan emas menembak negara.

SELEPAS hanya membawa pulang dua pingat emas daripada Sukan Sea 2007 di Korat, skuad menembak negara menanam impian lebih tinggi menggandakan pungutan itu apabila bertandang ke temasya sama di Vientiane, 9 Disember ini.

Dengan dibarisi penembak berpengalaman dan muda, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mengharapkan bidikan lebih tepat di Lapang Sasar Kompleks Sukan Nasional, Vientiane berbanding ketika tersasar begitu jauh di Korat.

“Sasaran persatuan ialah menggandakan pungutan emas dua tahun lalu di Korat,” kata Setiausaha Eksekutif NSAM, Mej (B) Jasni Shaari. “Matlamat kita empat emas dan kita cukup yakin akan dapat meraih di Vientiane.



“Keyakinan itu berbekal kepada senarai penembak yang kita bawa kali ini terdiri daripada penembak berpengalaman dan muda serta persediaan yang lebih rapi menghadapi temasya kali ini.”

Harapan emas itu disandarkan kepada skuad wanita negara dalam acara raifal wanita yang digalas penembak senior Nur Suryani Mohd Taibi, yang sudah beberapa beraksi dalam Sukan Sea, serta skuad pistol dengan Bibiana Ng sekali lagi menjadi teraju utama.

Dalam acara lelaki, Hasli Iswan sekali lagi diharap akan dapat membimbing rakan-rakan yang lain untuk memastikan mereka tidak akan pulang hampa dengan meraih emas acara raifal.

Dengan Thailand dan Vietnam sekali lagi bakal menjadi seteru utama negara dalam usaha meraih emas, penembak negara perlu berusaha lebih gigih memastikan sasaran tercapai. BHARIAN

0 comments:

Post a Comment

top