Laos bukan tempat buru emas


KONTINJEN Malaysia sudah kehilangan 32 pingat emas di Laos.



SUKAN SEA edisi ke-25 di Laos semakin hampir untuk membuka tirainya.
Debaran di kalangan atlet dan jurulatih yang dipertanggungjawabkan menggalas cabaran negara semakin terasa.

Ada yang teruja, seronok dan tidak sabar menjejak kaki ke bumi Laos untuk mengharumkan nama negara.

Semua sedia maklum, Sukan SEA Laos tidak semeriah temasya sebelum ini kerana ia dianjurkan secara 'ala kadar' kerana kekurangan kemudahan dan peruntukan kewangan yang agak terbatas.

Apa pun, ia bukan perkara pokok kerana paling utama ialah prestasi yang bakal dipamerkan oleh kontinjen negara kelak.

Temasya kali ini menawarkan 384 pingat emas dan mampukah Malaysia meriah sebahagian daripadanya?

Begitupun, hanya 40 pingat emas yang diburu memandangkan Malaysia sudah pun kehilangan 32 pingat emas ekoran beberapa acara yang yang menjadi kekuatan kepada mereka tidak dipertandingkan di Laos.

Pada temasya di Korat dua tahun lalu, Malaysia membawa pulang 68 emas daripada 475 pingat emas yang ditawarkan menerusi 43 jenis sukan.

Ketika itu, 25 daripada 68 emas yang diperoleh itu hadir daripada acara acara gimnastik (2), gimrama (2), tenpin boling (4), skuasy (1), ekuestrian (4), hoki lelaki (1), hoki wanita (1), boling padang (4), polo (1), pelayaran (2) dan triatlon (1).

Malangnya semua acara ini tidak dipertandingkan di Laos.

Beberapa acara yang menjadi lubuk emas ini digugurkan dan diganti dengan acara sukan tradisional yang menjadi kekuatan tuan rumah seperti renang sirip, timang bulu ayam dan Muay Thai.

Atlet negara mengambil bahagian dalam acara renang dan terjun, taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, lumba basikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar dan angkat berat.

Bagi Majlis Sukan Negara (MSN), mereka meletakkan sasaran realistik dengan hanya meletak 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara yang disertai.

MSN memiliki pandangan berbeza dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebelum ini yakin atlet negara mampu meraih 40 emas.

Apa pun, bagi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Malaysia tidak menyasarkan pungutan emas yang tinggi pada temasya di Laos kerana banyak acara yang menjadi kelebihan kepada negara tidak dipertandingkan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong ketika menjelaskan sasaran MSN, menegaskan dia yakin sasaran berdasarkan fakta dan bukan dibuat secara membuta tuli.

Malah, penilaian MSN bukan semata-mata berdasarkan prestasi semasa atlet, malah turut mengambil kira peningkatan serantau yang ditunjukkan oleh atlet negara lain.

"Orang memang senang hendak meletakkan sasaran tetapi kita kena melihat fakta dan ambil kira pelbagai faktor, bukan saja prestasi atlet kita tetapi juga peningkatan yang ditunjukkan oleh atlet serantau," katanya.

Apa pun perbezaan sasaran antara MSN dan MOM harus dinilai secara positif dengan satu tujuan yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara.




Bagi persatuan pula, mereka perlu belajar menerusi pengalaman lalu serta tidak meletakkan sasaran keterlaluan selain mengukur kemampuan sendiri.

Setakat ini, persatuan sukan mengambil sikap berhati-hati dengan meletakkan sasaran mengikut kemampuan atlet dan tidak mahu disalahkan apabila gagal mencapainya.

Misalnya, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) meletakkan sasaran lima pingat emas bagi acara renang dan empat emas acara terjun berbeza dengan masing-masing tujuh emas di Korat.

Acara olahraga meletakkan sasaran lapan pingat emas berbanding sembilan sebelum ini.

Bagi acara Karate yang mempertaruhkan 19 atlet pula sekadar meletakkan sasaran lima emas berbanding lapan emas dua tahun lalu.

Berbeza dengan sukan badminton, mereka dilihat mampu menuai lebih tiga pingat emas namun hanya meletakkan sasaran dua pingat emas di Laos.

Acara wusyu menyasarkan dua pingat emas menerusi acara taijiquan lelaki dan nanquan wanita.

Taekwondo yang berhadapan dengan konflik dalaman persatuan, tetap menaruh keyakinan untuk meraih dua emas seperti mana yang dicapai tahun lalu.

Bagi atlet silat yang kini bertapa di Bukit Fraser, mereka meletakkan sasaran dua pingat emas.

Persatuan Sepak takraw Malaysia (PSM) yang tidak menghantar penyertaan di Korat dua tahun lalu mengambil sikap berhati-hati dengan meletakkan sasaran satu pingat emas.

Beberapa acara sukan mengambil sikap berkecuali dengan tidak 'berani' meletakkan sasaran pingat emas seperti bola sepak, angkat berat, tenis dan juga golf.

Apa pun pingat emas sebenarnya bertitik tolak daripada atlet itu sendiri menerusi kesungguhan, komitmen dan semangat mereka untuk mengharumkan nama negara.

Sesungguhnya, Malaysia dilihat tidak meletak harapan yang terlalu tinggi dari segi kutipan pingat emas pada temasya Sukan SEA Laos kerana tumpuan terarah kepada dua kejohanan yang lebih besar selepas ini iaitu Sukan Komanwel di India dan Sukan Asia di Guangzhou, kedua-duanya tahun depan. KOSMO

0 comments:

Post a Comment

top