Penganjur ada hak pinda acara Sukan Sea

NASIB sama mungkin menimpa sukan lain dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan, lumrah negara tuan rumah menukar serta mengurangkan jumlah pingat atau acara yang bakal dipertandingkan di Sukan Sea.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, setiap negara penganjur pastinya akan mengubah beberapa perkara yang biasanya mendatangkan kelebihan kepada mereka untuk menang.

Katanya lagi, namun setiap perkara yang diubah itu, seperti yang berlaku terhadap sukan gimnastik sekarang ini tidak melanggar peraturan dan ia sah.
“Sekiranya Malaysia berpeluang menganjurkan temasya Sukan Sea pada 2019, pastinya kita melakukan perkara sama dan melaksanakan sedikit perubahan. Kali terakhir kita menjadi tuan rumah adalah pada 2001 dan kita lakukan beberapa perubahan pada waktu itu.

“Sebagai penganjur, negara yang terbabit mempunyai hak untuk mengubah, mengurangkan atau menambah jumlah pingat malah boleh menyingkirkan terus mana-mana acara. Oleh itu, kita dan negara lain perlu menghormati kuasa tuan rumah,” katanya, semalam.

Arena Metro, semalam, melaporkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menerima khabar negatif apabila diberitahu jumlah pingat emas acaranya akan dikurangkan dari 24 ke 17, di temasya Sukan Sea, Indonesia, November ini.

Perkara itu dibantah negara Konfederasi Gimnastik Asia Tenggara (Seagcon), termasuk Malaysia, yang menganggap tindakan itu tidak adil dan berusaha mengekalkan jumlah sedia ada.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, setakat ini pihaknya menerima khabar ia hanya membabitkan acara gimnastik.



MyMetro

0 comments:

Post a Comment

top