|
|
KUALA LUMPUR - Biarpun isu acara pertandingan Sukan SEA XXVI di Indonesia belum berkesudahan, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah mengambil langkah persediaan awal untuk menghadapi temasya itu dengan melantik dua Chef de Mission (CDM) untuk mengetuai kontinjen negara sepanjang temasya 11-25 November itu.
Pelantikan dua CDM perlu dilakukan untuk memastikan semua atlet negara mendapat perhatian penuh memandangkan edisi ke-26 temasya bakal diadakan di dua lokasi berjauhan, Palembang dan Jakarta, kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.
Bagaimanapun kata Kok Chi, siapa yang bakal dipilih untuk mengetuai kontinjen negara pada temasya tersebut belum dikenal pasti dan ia mungkin antara agenda yang akan dibincangkan pada mesyuarat majlis MOM di ibu negara hari ini.
"Ini bukan kali pertama kita mempunyai dua Chef de Mission dalam satu temasya kerana kita juga menggunakan pendekatan serupa pada Sukan SEA 2003 di Vietnam memandangkan temasya ketika itu diadakan di dua lokasi berlainan yang kedudukannya amat jauh di antara satu sama lain.
"Siapa yang akan dipilih untuk mengetuai kontinjen negara belum diputuskan kerana kami masih mencari calon yang sesuai. Mesyuarat majlis esok mungkin akan membincangkan mengenai perkara ini,'' ujar Kok Chi, yang turut menambah isu Sukan SEA akan menjadi agenda utama mesyuarat hari ini.
Pada Sukan SEA 2003, temasya diadakan di Hanoi dan Ho Chi Minh. Datuk Ho Kok Chye dipilih mengetuai atlet di Ho Chi Minh, manakala Norminshah Sabirin pula bertanggungjawab menjaga kontinjen yang bertanding di Hanoi.
Jumlah sebenar kontinjen Malaysia yang akan terlibat di Indonesia, hujung tahun ini juga belum dapat dipastikan kerana Temasya XXVI itu masih bercelaru daripada segi senarai sukan dan acara yang dipertandingkan ekoran tindakan tuan rumah memasukkan banyak acara merapu dan memihak kepada mereka ditentang negara lain.
Mengikut senarai awal, Indonesia menawarkan 542 pingat emas daripada 44 acara, namun mereka menggugurkan banyak acara yang lazim dipertandingkan di Sukan Asia dan Sukan Olimpik, termasuk hoki serta kebanyakan acara trek lumba basikal.
Keputusan akhir mengenai jenis sukan dan acara yang bakal dipertandingkan mungkin hanya diketahui apabila seluruh warga sukan Asia Tenggara bersidang pada mesyuarat majlis dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Denpasar, Bali pada 25 Februari ini.
Utusan
0 comments:
Post a Comment