Indonesia sedia runding tambah acara basikal trek

KUALA LUMPUR - Malaysia menerima perkhabaran gembira menjelang Sukan Sea 2011 apabila Indonesia bersedia mengadakan rundingan semula dengan Persatuan Berbasikal Asia (ACC) mengenai jumlah acara basikal khususnya trek yang akan diadakan di Palembang November ini.

Naib Presiden ACC, Abu Samah Abd. Wahab yang menerima mandat badan berbasikal Asia itu agar kemelut jumlah acara trek pada Sukan Sea 2011 diselesaikan, menjelaskan Indonesia sedia menemui wakil ACC dan Persekutuan Berbasikal Asean (ACA) di Jakarta dalam tempoh terdekat.

"Perkara ini dinyatakan Ketua Umum Ikatan Sepeda Sport Indonesia (ISSI), Phanny Tanjung dalam satu pertemuan khas dengan saya di Kuala Lumpur.

"Saya berbesar hati dan gembira melihat sikap terbuka ISSI. Malah Indonesia berjanji akan mencari jalan penyelesaian menang-menang.

"Pada awal Mei lalu saya ke Jogjakarta menemui delegasi Indonesia untuk mengetahui perkembangan terkini tentang acara berbasikal yang akan dipertandingkan di Palembang. Kehadiran Phanny adalah sebagai satu kunjungan balas.

"Namun secara simbolik ia membuktikan Ketua Umum ISSI itu bersikap terbuka. Ia membuktikan Phanny Tanjung berfikiran terbuka, matang dan mahu mencari formula menang-menang," katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kurang senang apabila hanya tiga acara trek, bukan 12 yang dipertandingkan pada Sukan SEA.

Acara trek yang penting seperti keirin dan 200 meter pecut individu tidak dipertandingkan. Malaysia mempunyai dua pelumba bertaraf dunia dalam acara ini iaitu Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

Keputusan itu dinyatakan Komite Olimpik Indonesia (KOI) yang menegaskan tidak melakukan rombakan mana-mana acara membabitkan trek, basikal bukit (MTB) dan BMX sekali pun telah mengadakan mesyuarat pada 25 Februari lalu.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

top