12 badang sah ke Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR - Seramai 12 atlet angkat berat disenaraikan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) ke Sukan SEA 2011 untuk melaksanakan misi mengatasi pencapaian tiga perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA Laos dua tahun lalu.

Presiden PABM, Zafarul Akbar Kassim berkata, kesemua senarai nama tersebut dipilih berdasarkan pencapaian konsisten mereka pada dua Kejohanan Sirkit Kebangsaan tahun ini.
Menurutnya, ada di antara atlet yang memecahkan rekod kebangsaan melalui kejohanan tersebut, meskipun sekadar bersaing dengan atlet tempatan.

"Daripada 12 atlet angkat berat tersebut, empat atlet memecahkan rekod kebangsaan.
"Ini menunjukkan mereka mampu untuk melangkah lebih jauh, namun kita tak mahu letak apa-apa sasaran cuma kita harapkan pada Sukan SEA 2011, mereka mampu mengatasi pencapaian di Laos 2009," katanya pada sidang akhbar semalam.

Daripada 12 nama tersebut tujuh adalah atlet lelaki iaitu Zulkifli Che Ros, Naharuddin Mahayuddin (77kg), Mohd. Faiz Musa (94kg), Firdaus Razak, Elisha Louis Tan Kim Ho (105kg), Abd Azim Najmi Abdul Rashid dan Mohamad Zafril Zulkifli (+105kg).

Lima atlet wanita yang layak ialah, Syarifah Inani Najwa Syed Anuar (53kg), Frenceay Titus, Elyone Matin (58kg), Arisha Farra (75kg) dan Tay Shan Fong (+75kg).

Sementara itu, Zafarul berkata, atlet elit lain yang tidak disenarai ke Sukan SEA akan dihantar beraksi pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Perancis pada November ini untuk mengutip mata ke Sukan Olimpik.
"Kita belum ada senarai nama yang akan ke Perancis, cuma yang telah sah akan beraksi ialah Aricco Jumitih dan Raihan Yusoff.

"Dua atlet tersebut mempunyai kecergasan yang baik pada tahun ini dan kita cadang untuk menghantar empat atau lima nama ke sana," jelas Zafarul.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

top