Daniel hampir pasti tidak ke Sukan SEA



Daniel Bego sudah kembali berlatih minggu lalu, namun tidak pasti sempat beraksi di Sukan SEA Palembang, November ini.


KUALA LUMPUR - Harapan Malaysia mahu mengulangi pencapaian membolot 15 pingat emas Sukan SEA menerusi akuatik di Laos dua tahun lalu menerima tamparan besar dengan jaguh renang kebangsaan, Daniel Bego mungkin tidak sempat pulih sepenuhnya untuk temasya di Indonesia itu, November ini.

Daniel yang merangkul lima emas, dua tahun lalu, baru kembali berlatih minggu lepas selepas berehat beberapa bulan kerana menjalani pembedahan bahu untuk memperbetulkan masalah Osteophyte.

Osteophyte ialah ketumbuhan yang terbentuk pada tulang biasa dan ia boleh menjadi amat menyakitkan apabila menyentuh tisu lembut atau ligamen.

Namun, pergerakannya masih terbatas dan yang hanya terdaya dilakukannya adalah menjalani latihan ringan.
Anak jati Sarawak berusia 21 tahun itu yang ditemui di Pusat Akuatik Nasional, semalam mengakui peluangnya untuk beraksi di Palembang amat tipis.

"Saya baru mula berlatih sejak minggu lalu, tetapi sekadar terapung-apung atas air dan cuba menyesuaikan diri dalam kolam.

"Saya hampir pasti tidak dapat pergi ke Palembang," katanya.
Daniel bagaimanapun menegaskan dirinya langsung tidak terjejas selepas berehat panjang dan fikirannya masih 100 peratus tertumpu kepada berenang.

"Itulah sebabnya saya memilih untuk menjalani pembedahan. Saya masih menanam harapan melayakkan diri ke Olimpik tahun depan," ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad renang kebangsaan, Paul Birmingham juga akur dengan ketiadaan Daniel untuk mengetuai cabaran Malaysia ke Palembang.

"Saya tidak mahu terlalu mengharap. Daripada apa yang saya perhatikan sejak minggu lalu, dia masih tidak dapat berenang seperti biasa.

"Saya jangka dia tidak sempat dengan masa hanya tinggal dua tiga bulan lagi. Mustahil dia dapat melakukannya dalam tempoh sesingkat itu," jelasnya.



Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

top