Rashid sindir jurulatih

“KALAU pada Sukan Sea tahun ini skuad negara tak dapat sekurang-kurangnya satu pingat emas, lebih baik turun ‘takhta’ saja.”

Demikian sindiran keras bekas pemain sepak takraw negara, Rashid Yahaya kepada barisan jurulatih yang membimbing skuad negara selepas kecewa melihat prestasi skuad negara yang semakin merundum sejak kebelakangan ini, termasuk terbaru tewas kepada kelab dari Thailand, Tirathai pada saingan final Piala Egat di Rayong.

Kekalahan terbaru itu meneruskan cerita kegagalan skuad negara selepas tewas kepada skuad takraw Thailand pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur kira-kira dua minggu lalu.
Bagi Rashid, tiada gunanya untuk mereka menyandang jawatan sebagai jurulatih andai tidak dapat mengubah nasib skuad negara yang sering dibayangi kehebatan Thailand sejak sekian lama.

“Belum pergi satu-satu kejohanan sudah tanya berapa banyak elaun yang bakal diterima, kalau menang apa ganjarannya. Apa semua ini? “Jelas sikap pemain dan jurulatih sekarang tidak sama dengan pemain dulu. Nak mewakili negara semata-mata mahukan wang, tidak seperti zaman saya dulu yang hanya dibayar elaun antara RM3 hingga RM5 saja.

“Tapi ketika itu bukan wang yang kami pandang, sebaliknya kejayaan menjadi keutamaan. Pendek kata, kami bermain semata-mata untuk negara,” katanya.

Bagi Rashid, gesaan untuk mengundurkan diri itu bukan saja tertumpu ke arah barisan jurulatih tempatan, malah ia juga membabitkan dua perunding Thailand yang dilantik baru-baru ini iaitu Trawet Intar dan Taweet Wongkaen yang pada anggapannya tidak membawa impak besar kepada skuad negara.

“Apa gunanya lantik dua perunding dari Thailand ini? Saya tak nampak ada manfaatnya untuk skuad negara. Lebih baik suruh saja mereka pulang ke Thailand.

“Banyak lagi bekas pemain negara yang berkemampuan dan sedia untuk memikul tugas menggantikan dua perunding dari Thailand itu. Jadi apa salahnya gunakan khidmat anak tempatan,” katanya.



myMetro

0 comments:

Post a Comment

top