MEMANG senang mencari alasan tetapi hakikat sebenar jelas tidak mampu ditutup betapa skuad negara memang tidak berada di ‘kelas' sepatutnya pada saingan temasya kali ini.
Ketika gelaran gergasi masih melekat di kalangan negara rantau ini sebelum bermula saingan di Laos - semalam terdedah betapa gergasi itu sudah hilang giginya.
Dan kejayaan pasangan Mohd Saifullah Mohd Nor serta Nurakmal Firdauz Ahmad menundukkan Indonesia dalam acara double, itupun menerusi tie break 15-13 selepas kecundang set pertama 21-15 dan menang set kedua 21-17 membuktikan ada sesuatu yang harus diperbaiki secepat mungkin.
"Kita ada semua kemampuan tetapi pemain kerap hilang fokus, mereka ada kelebihan tetapi sering melakukan kesilapan kecil yang membawa padah," kata pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahya.
"Kita juga diletakkan dalam kumpulan kuat terdiri daripada Laos, Indonesia dan Vietnam."
Tampak seperti sekadar alasan remeh, negara luar seperti Laos diakui Arshad sudah lama bersedia untuk Sukan Sea - namun PSM lebih gemar menjauhkan diri gara-gara masalah penggunaan bola di temasya Korat.
Hasilnya, pengalaman harus ditimba pemain tidak dapat direalisasikan sambil janji membawa pulang dua emas menjadi sekadar cakap kosong dengan hanya satu perak menerusi acara berpasukan lelaki dan gangsa antara regu.
Lebih daripada itu, jika dulu hanya Thailand mampu mencetus rasa bimbang kini Arshad menegaskan skuad negara perlu melihat lebih teliti pasukan lain yang sudah semakin meningkat terutama bagi menghadapi Sukan Asia tahun depan.
"Kita harus perhatikan Korea Selatan dan China di Sukan Asia nanti, Laos juga boleh mendatangkan ancaman terutama dalam acara regu, mungkin mereka dibantu penyokong tetapi memang mereka memiliki skuad yang bagus," kata Arshad.
0 comments:
Post a Comment