Pemain tidak rela emas terlepas daripada genggaman


PEMAIN skuad negara tekun mendengar taklimat jurulatih, K. Rajagobal (berdiri, dua dari kanan) menjelang perlawanan akhir menentang Vietnam hari ini.


VIENTIANE, Laos - Bagi memastikan emas tidak terlepas daripada genggaman, barisan pemain pertahanan skuad bola sepak negara berjanji akan 'merantai' setiap pergerakan penggempur Vietnam hari ini.

Mereka tidak rela benteng pertahanan negara diporak-perandakan oleh 'arkitek' Vietnam yang akan ditunjangi kapten, Pham Thannh Luong serta dua pemain merbahaya, Phan Thanh Binh dan Mai Tien Thanh.

"Kami harus mengamalkan corak permainan yang lebih keras berbanding perlawanan peringkat kumpulan dengan Vietnam sebelum ini. Kami tidak boleh bagi ruang kepada ketiga-tiga pemain utama mereka itu, jika tidak kami berada dalam keadaan bahaya.

"Pada perlawanan dengan Vietnam lalu, kami terlalu memberi ruang kepada kapten Vietnam itu sehingga membolehkan dia bergerak bebas untuk merencana pergerakan mereka. Kali ini, saya berjanji tidak akan sesekali membuka ruang kepada dia untuk mudah masuk ke kawasan pintu gol kami," kata pemain pertahanan tengah negara, Mohd. Muslim Ahmad.

Muslim berkata, dia dan Aidil Zafuan Abd. Radzak yang turut bertindak sebagai pemain pertahanan tengah sudah dapat pengajaran berguna pada pertemuan dengan Vietnam yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3.

"Jika kami tidak mahu gawang negara dibolosi, kami perlu mengawasai pergerakan kapten Vietnam itu. Dia mempunyai skil yang tinggi dan pantas bergerak. Jika saya ditugaskan untuk menjaganya sepanjang perlawanan, saya akan pastikan dia tidak akan dapat bergerak bebas.

"Selain kapten Vietnam itu, pemain berjersi No. 18 (Thanh Binh) dan 13 (Tien Thanh) juga tidak boleh diberikan ruang. Dua pemain ini cukup merbahaya apabila bola berada di kaki mereka," kata Muslim.

Pemain pertahanan kanan negara, Mohd. Nasriq Baharom pula berkata, dia kini seperti sudah dapat 'membaca' percaturan yang bakal dibuat oleh jurulatih Vietnam, Henique Calisto.

"Seperti kata Muslim, kami kena bermain dengan lebih agresif. Jika kami dapat 'mengunci' beberapa tonggak utama Vietnam, saya yakin kami mampu menewaskan mereka.

"Sebagai pemain pertahanan, komunikasi amat penting antara kami berempat. Saya harap kami tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini kerana dua gol yang diperoleh Vietnam adalah berpunca daripada kesilapan kami sendiri," kata Nasriq yang meledak gol pertama negara ketika menentang Thailand, 11 Disember lalu.

Sementara itu, pemain pertahanan kiri, Mohd. Sabree Mat Abu berkata, peluang menentang Vietnam buat kali kedua pada temasya kali ini dianggap satu hikmah kepada skuad negara.

"Kami tewas kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A lalu. Sekarang mungkin rezeki kami pula untuk menundukkan mereka. Selain mahu membalas dendam, kami kini hanya selangkah lagi untuk meraih pingat emas seterusnya menamatkan penantian selama 20 tahun.

"Peluang sudah ada di depan kami, kemenangan ke atas Thailand dan Laos sebelum ini telah membangkitkan semangat saya dan rakan-rakan yang lain untuk mencipta sejarah di Laos," kata Sabree.

0 comments:

Post a Comment

top