Mun Yee belum sedia undur


CINTA terhadap sukan terjun jadi faktor terus menunjangi Leong Mun Yee untuk enggan mengucapkan salam perpisahan biarpun kancah saingan temasya kali ini adalah yang kelapan buatnya.


Kali pertama merasai kehangatan saingan serantau di Jakarta, 12 tahun lalu, Mun Yee kini masih tetap berupaya mengekalkan statusnya selaku 'ratu terjun' negara dengan gapaian dua emas untuk membantu keseluruhan enam emas yang dimiliki skuad negara.

"Saya dalam kumpulan penerjun negara yang terbabit secara serius dalam sukan ini. Ketika ini, belum terfikir untuk melupakan Sukan Sea. Malah 2011 nanti saya mahu terus bertanding kerana matlamat ketika ini ialah untuk tidak terlepas peluang ke Sukan Olimpik 2012 nanti," katanya.

Gadis jelita berusia 25 tahun itu akur betapa Asia Tenggara mungkin bukan lagi tempatnya untuk mencari cabaran, terutama selepas mudah menggondol emas acara 10m platform seirama bersama Pandelela Rinong dan 3m papan anjal seirama bersama Ng Yan Yee di Vientiane kali ini.

"Impian saya ialah menaiki podium di Sukan Olimpik. Ia akan jadikan segala pengorbanan selama ini amat berbaloi," kata penuntut jurusan komunikasi di Universiti Putra Malaysia itu.

Malah, jika awalnya Mun Yee mengakui terpaksa didorong ibu dan bapanya ketika ada rasa mahu melupakan sukan itu, tetapi kini segalanya terus dilakukannya demi cinta terhadap apa yang dilakukan.

"Saya amat cintakan sukan ini. Kerana itu, biarpun terpaksa menjalani latihan keras, ia langsung tidak melunturkan semangat saya. Saya mahu cuba mencapai tahap pencapaian setinggi mungkin," katanya yang turut memenangi gangsa bersama Pandelela ketika Kejohanan Dunia, Ogos lalu.BH

0 comments:

Post a Comment

top