Empat pesilat terutama Faizal dan Emy galas harapan tebus kecewa Korat
SASARAN dua emas sudah semakin hampir apabila empat wakil dalam empat aksi final, setidak-tidaknya boleh mencetus ceria buat pasukan negara.
Selepas gagal mencari emas pertama menerusi acara silat seni apabila 'dimainkan' Indonesia, harapan negara kini dipikul Mohd Hafiz Mahari dalam kelas 50kg, Faizal Abdullah (80kg), Mohd Fauzi Khalid (70kg) dan Emy Latip (55kg).
"Kita punya harapan tinggi pada empat pesilat ini terutama Faizal dan Emy bagi memberikan emas selepas hanya mendapat satu perak di Korat," kata pengurus pasukan, Osman Nok.
"Jika semuanya berjalan lancar, saya yakin sekurang-kurangnya dua emas mampu berada dalam tangan.”
Bagaimanapun, sedikit rasa bimbang menyelubungi Osman terutama keadaan pesilat pada cabaran final itu selain pemarkahan daripada juri yang kadangkala meragukan.
Daripada segi atlit, katanya, dia melihat banyak peningkatan dalam laluan mereka ke final dan jika itu mampu dikekalkan, tiada sebarang masalah buat mereka menundukkan lawan masing-masing.
"Saya takut ia tidak terjadi di final dan faktor pemarkahan juga boleh mendatangkan impak. Tapi saya minta semua atlit kita supaya konsisten dan melakukan yang terbaik pada final nanti," katanya.
Mohd Fauzi akan bertemu pesilat Vietnam, Truong Van Mao; Faizal bertemu Chanon Ontakool dari Thailand; Hafiz akan menentang wakil tuan rumah, Okhe Botsavang manakala Emy pula bersaing dengan peserta Thailand, Jurata Noytapa.
0 comments:
Post a Comment