Prestasi skuad menembak hambar

SKUAD negara menamatkan aksi di temasya kali ini dengan penampilan terburuk apabila buat pertama kalinya sejak 2001 di Kuala Lumpur, mereka gagal menyumbang sebarang pingat emas.


Harapan terakhir semalam untuk memulihkan maruah skuad negara hanya tinggal sisa sahaja apabila trio 25m pistol - Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd - gagal memikul watak penyelamat apabila hanya menyumbangkan pingat perak dan gangsa, masing-masing dalam acara individu dan berpasukan.

Walaupun ada sedikit rasa kurang puas hati dalam pasukan Malaysia apabila satu tembakan Joseline dikatakan tidak mengena sasaran - pada ketika mereka bersaing sengit dengan Thailand untuk tempat pertama - hingga membabitkan protes daripada pengurus pasukan, Datuk Musa Omar, ia tidak dapat menyelamatkan mereka daripada meninggalkan Vientiana tanpa emas.


"Saya menyoal juri dan memprotes mengenai tembak Joseline yang tidak mendapat sebarang mata tetapi ia ditolak," kata Musa.

Dengan satu tembakan tidak memberi sebarang mata, Bibiana, Joseline dan Masitah menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 1,672 mata, dengan emas menjadi milik Thailand (1,693) dan perak diraih Vietnam (1,687).

Dalam saingan individu, Bibiana, yang dalam acara berpasukan mendapat markah tertinggi, gagal, meneruskan rentak itu apabila hanya meraih perak dengan 778.90 mata. Emas dimenangi penembak Thailand, Tanyaporn P (782.20) dan gangsa Pham Thi Ha dari Vietnam (769.80).

“Sungguh mengecewakan," kata Bibiana, yang memenangi emas individu acara itu pada 2003 di Hanoi. "Saya dan rakan sudah cuba bersungguh-sungguh dan dalam menembak ada hari-hari apabila kita gagal menampilkan aksi terbaik, tetapi kami sememangnya sudah mencuba."

Keseluruhannya, Malaysia hanya meraih enam perak dan lima gangsa dari Vientiane.BH

0 comments:

Post a Comment

top