'Emas ini untuk nenek'


FARKHAN (kiri) dan Fairus menunjukkan emas kategori 75kg dan 81kg yang mereka menangi semalam.

"EMAS ini untuk nenek saya, semoga dia sedar daripada koma dan dapat melihatnya," kata Muhamad Farkhan Mohd Haron yang menjuarai kelas middleweight di Universiti Nasional Laos, semalam.

Jelas tiada apa lebih menggembirakan anak muda berusia 21 tahun dari Johor Bahru itu selain ingin melihat neneknya, Zainab Abu Tahir, kembali pulih selepas diserang angin ahmar sebelum dia berlepas ke Laos.

Dan kejayaan memenangi emas itu begitu besar ertinya bukan saja buat Farkhan, malah menjadi penantian yang cukup lama kerana sepanjang Sukan Seap bermula di Bangkok pada 1959 sehingga ditukar ke Sukan Sea 1977, hanya sekali Malaysia memungut emas di gelanggang luar iaitu pada Sukan Seap, Bangkok, pada 1967.


Farkhan yang hanya sempat berlatih kira-kira sebulan selain menerima berita neneknya dalam keadaan nazak, menyifatkan apa yang ada padanya hanyalah semangat ketika berdepan peninju Vietnam, Cao Van Trong untuk menang 4-1.

"Memang saya tidak terdaya, saya hanya berlatih selama sebulan setengah dengan Sukma Terengganu adalah kejohanan terakhir saya," katanya yang turut mengalahkan lawan sama untuk pingat gangsa di Korat, dua tahun lalu.

"Saya harap emas ini akan membuka mata banyak pihak untuk terus membantu sukan tinju. Memang kami tidak menampilkan prestasi baik tetapi saya harap ini akan mengubah keadaan itu supaya peninju muda akan dapat meningkat."

Anak kepada pemenang perak acara tinju pada temasya 1989, Haron Ismail itu juga tidak mahu menghampakan bapanya selain mengharapkan untuk menyamai catatan jurulatihnya, Zulkifli Yaakob yang turut menang emas kategori sama pada temasya di Kuala Lumpur itu.

Ceria dicipta Farkhan kemudiannya diteruskan seorang lagi wakil negara, Muhd Fairus Azwan yang menang selesa 11-3 dalam saingan light heavyweight bertemu peninju Indonesia, Ahmad Amri.

0 comments:

Post a Comment

top