Hanya atlit terbaik sertai Sukan Sea masa depan



HANYA atlit terbaik dan elit yang akan menyertai Sukan Sea pada masa akan datang dan Malaysia juga kemungkinan mengambil bahagian dalam sukan tradisional seperti muay thai, semata-mata untuk menjana ‘faktor rasa seronok’ di kalangan rakyat.

Berdepan ‘rasa seronok' pertamanya dengan pencapaian kontinjen negara, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, dalam apa yang boleh dianggap sebagai pengumuman dasar baru kementerian, tampak meletakkan faktor keceriaan sebagai faktor penting temasya dwitahunan itu.

Pada sidang akhbar mengumumkan rumusan prestasi kontinjen negara, Ahmad Shabery yang sentiasa menekankan 'faktor rasa seronok" juga mahu sukan negara melihat ke arah Vietnam, yang mencapaia kejayaan cemerlang kali ini.


"Kemenangan bola sepak membangkitkan ‘rasa seronok’ di kalangan rakyat Malaysia," katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng, chef-de-mission Datuk Dr Ramlan Aziz dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

"Kita harus memandang Sukan Sea sebagai temasya serius dan saya minta persatuan menghantar hanya atlit terbaik kerana kemenangan pingat boleh membangkit ‘rasa seronok’ di kalangan rakyat.

"Selain itu, jika kita menghantar atlit pelapis ia boleh membangkitkan masalah diplomatik antara negara peserta apabila mereka menghantar yang terbaik sedangkan kita tidak.

"Kita juga perlu melihat kepada sukan lain yang boleh menyumbang pingat seperti muay thai di mana sukan ini dimainkan di tanah air tetapi kita tidak mempunyai pasukan sedangkan ia menawarkan banyak pingat. Orang ingin melihat kemenangan kerana ia dapat membangkit rasa seronok."

Ahmad Shabery mahu Malaysia melihat kepada Vietnam, yang mencapai kejayaan cemerlang di temasya ini terutama dalam sukan mempertahankan diri.

"Dalam tempoh enam tahun sejak menjadi tuan rumah 2003, Vietnam meningat dengan mendadak," kata Ahmad Shabery. "Mungkin kita boleh mencontohi kejayaan mereka dalam tempoh yang singkat itu, Oleh itu, saya bercadang berkunjung ke negara itu bagi melihat secara dekat perancangan sukannya."

Untuk rekod, sebaik Malaysia muncul juara Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur, MSN menyatakan temasya itu bukan lagi keutamaan dengan tumpuan kepada Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik manakala atlit pelapis diberi peluang beraksi di Sukan Sea.

Namun, dengan pengumuman baru Ahmad Shabery itu, Sukan Sea kembali diberi keutamaan dan atlit terbaik akan beraksi dalam usaha mengejar emas bagi mewujudkan rasa seronok berkenaan. BH

0 comments:

Post a Comment

top