VIENTIANE, Laos - Dua pasangan beregu negara megah melangkah ke pentas akhir acara badminton Sukan SEA XXV tatkala jaguh perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo kecundang dalam saingan separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional semalam.
Beregu lelaki No. 1 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan membuat perhitungan akhir dengan gandingan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan manakala dalam saingan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui bakal berentap dengan beregu Singapura, Shinta M. Sari-Yao Lei hari ini.
Pertemuan Kien Keat-Boon Heong dengan beregu utama Indonesia itu ibarat ulangan perlawanan dalam acara berpasukan lelaki Ahad lalu yang menyaksikan gandingan negara menang 19-21, 22-20, 21-10.
"Walaupun kami menewaskan mereka dalam acara berpasukan sebelum ini tetapi itu bukan jaminan kepada kami untuk menang pada perlawanan akhir esok (hari ini).
"Mereka adalah antara beregu terbaik dunia ketika ini dan saya percaya, mereka juga pasti mahu membalas dendam selepas tewas kepada kami sebelum ini," kata Boon Heong ketika ditemui semalam.
Pada aksi separuh akhir semalam, Kien Keat-Boon Heong menundukkan beregu Indonesia, Bona Septano-Mohammad Ahsan 21-16, 21-10 dalam pertarungan yang memakan masa 30 minit manakala Markis-Hendra menang 27-25, 15-21, 21-16 ke atas beregu kedua negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari.
Pei Tty-Eei Hui pula mara ke final acara beregu wanita selepas menang 21-12, 21-15 ke atas gandingan Singapura, Meiliana Jauhari-Shendy Irawati dalam tempoh 35 minit.
"Kami tidak mahu memendang rendah keupayaan beregu Singapura itu. Kami hanya mahu memberikan aksi sebaik mungkin dan tidak melakukan kesilapan muda," kata Pei Tty.
Sementara itu, hajat Mew Choo merangkul emas kedua peribadinya di Laos tidak menjadi kenyataan apabila tewas 18-21, 14-21 kepada pemain Thailand, Salakjit Ponsana dalam tempoh 41 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Mew Choo gagal untuk mengulangi pencapaiannya pada Sukan SEA 2003 di Vietnam dengan memenangi pingat emas acara perseorangan wanita.
Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Lydia Cheah turut gagal ke final selepas tewas 15-21, 21-23 kepada pemain Thailand, Ratchanok Intanon sementara Kien Keat-Pei Tty gagal dalam dalam acara beregu campuran selepas tewas kepada pasangan Indonesia. KOSMO
0 comments:
Post a Comment