|
|
VIENTIANE, Laos - Selepas menanti selama 20 tahun, akhirnya pingat emas acara bola sepak Sukan SEA kembali berada dalam genggaman Malaysia.
Skuad negara kendalian K. Rajagobal mengakhiri kemarau selama 20 tahun itu apabila berjaya membenam Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional.
Jaringan sendiri oleh pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 sudah cukup buat barisan muda negara melakar sejarah penuh gemilang di bumi Laos, sekali gus membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas ke-40 semalam.
"Selepas kita menanti 20 tahun, kini anak-anak buah saya sudah mengembalikan semula pingat emas acara bola sepak Sukan SEA buat Malaysia. Kami sememangnya berhak meraih untuk pingat emas ini.
"Selama ini, kita menunggu untuk bergelar juara Sukan SEA dan akhirnya para pemain saya telah merealisasikan impian seluruh peminat bola sepak Malaysia. Saya harap, dengan kejayaan ini, ia akan kembali mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia," kata Rajagobal.
Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 1-0. Pada Sukan SEA 2001 juga di Kuala Lumpur, skuad negara turut melangkah ke final, namun tewas 0-1 kepada Thailand.
Mengulas lanjut kejayaan anak-anak buahnya mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 1989, Rajagobal berkata, kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan menjadi antara kunci utama mereka ditabalkan selaku juara pada temasya kali ini.
0 comments:
Post a Comment