ZAFRIL bangga dengan pingat emas yang dinantinya sejak 2005. |
MOHD Zafril Mohd Zuslaini menenuhi janji yang dibuat di hadapan arwah ibunya, Zainun Abidin empat tahun lalu, apabila mempamerkan larian bertenaga untuk memenangi emas acara 400 meter lelaki dengan catatan peribadi terbaiknya, 47.11 saat.
Selepas gagal memenangi emas di Manila 2005 ketika arwah ibu dan bapanya hadir di stadium, Zafril tekad untuk meraih emas untuk anugerah kepada ibu tersayang, yang meninggal dunia pada September 2007 akibat barah paru-paru.
Sebahagian daripada janji itu sudahpun tertunai ketika dia membantu kuartet 4x400m meraih emas di Korat dan semalam, bertempat di balapan Stadium Utama, Zafril melunaskan janjinya, untuk mengatasi pelari tempat kedua, Heru Astriyanto dari Indonesia (47.35s) dan atlit pilihan, Jukkatip Pojaroean dari Thailand, (47.53s).
"Tekad saya di sini untuk memenangi emas individu dan mengotakan janji kepada arwah ibu saya," katanya, yang kemenangannya turut disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Sabery Cheek, yang berada di garisan penamat. "Saya tanam azam ini sejak tiba di sini.
"Saya sungguh gembira kerana akhirnya berjaya menunaikan janji pada arwah ibu untuk memenangi emas selepas kegagalan berbuat demikian enam tahun lalu ketika ibu berada di stadium menyaksikan saya berlari.
"Sewaktu perlumbaan, saya tidak memikirkan pelari lain sebaliknya hanya menumpu kepada garisan penamat dan sentiasa memberi semangat kepada diri sendiri dengan berkata 'Ayuh Zafril, hanya ada 30m lagi... ayuh Zafril hanya 20m dan 10m, sehingga saya berjaya melepas garisan penamat.
"Ia kemenangan yang cukup bermakna dalam diri saya," kata atlit berusia 24 tahun berasal dari Kemaman, Terengganu itu.
Jelas terpancar keazaman dalam diri Zafril apabila memecut dan mendahului perlumbaan sebaik pistol permulaan dibunyikan, dan dia tidak menoleh selepas itu.
Kemenangan Zafril itu menyaksikan dia berjaya menamatkan kemarau 12 tahun untuk pingat emas 400m lelaki dengan kejayaan terakhir diraih pelari Kedah, Romzi Bakar di Jakarta pada 1997.
0 comments:
Post a Comment