Robani gagal pertahan gelaran 110m



Rekod Rayzamshah turut lebur

HARAPAN emas di bahu pelari 110 meter berpagar, Robani Hassan tidak kesampaian apabila gagal mengulangi kejayaannya empat tahun lalu di Manila, dengan hanya pingat perak mampu digapai dengan catatan 14.05 saat.

Kegagalan Robani itu, menyaksikan Malaysia kembali menyerah penguasaan acara terbabit kepada Thailand selepas mendominasinya pada 2003 di Manila dan dua tahun lalu di Korat melalui Rayzamshah Wan Sofian.

Pelari Thailand, Jamras Rittidet memenangi emas dengan rekod baru kejohanan, 13.89s, memadamkan catatan lama Rayzamshah, 13.91s, yang dilakukan di Korat dengan rakannya, Suphan Wongsriphuk meraih gangsa manakala seorang lagi pelari negara, Muhd Faiz Mohd gagal menamatkan perlumbaan selepas melanggar palang kelima.

"Saya kecewa kerana gagal mempertahankan emas negara," kata Robani yang terduduk sebaik menamatkan perlumbaan. "Saya sudah memberikan yang terbaik dan saya rasa kedudukan lorong tidak memihak kepada saya dan Faiz.

"Kami berada dalam lorong dalam manakala dua pelari Thailand di lorong luar dan setiap kali melakukan larian, tangan saya akan menyentuh pelari Thailand itu dan sebaliknya. Ini menyebabkan larian saya terganggu dengan berberapa kali terpaksa memperlahankan rentak.

“Memang saya mahukan emas selepas tidak bertanding dua tahun lalu akibat kecederaan... mungkin rezeki tidak ada di kejohanan ini," katanya.

Selain Robani, Malaysia turut meraih gangsa melalui Muhammad Hafizuddin Sahadan dalam acara lompat bergalah yang disertai tiga peserta, dengan catatan 4.50 meter, manakala Siti Zubaidah Adabi menduduki tempat keenam dalam lompat jauh wanita, dengan jarak 5.83m.

Dalam acara 200m lelaki, Mohd Noor Imran Abdul Hadi menamatkan saingan di tempat keempat dengan masa 21.60s. Emas dimenangi Raja Pecut Asia Tenggara yang baru dinobatkan, Suryo Agung Wibowo dengan kepantasan 20.85s. BH

0 comments:

Post a Comment

top