Sedia awal hadapi temasya 2011



AHMAD SHABERY (kanan) dan Zolkples bercakap kepada pemberita ketika memberi ulasan mengenai Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur semalam.


WALAUPUN Sukan SEA di Laos baru sahaja berakhir, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengadakan persiapan awal bagi menghadapi edisi seterusnya di Indonesia pada 2011.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu perlu kerana temasya sukan dwi-tahunan itu akan dilangsungkan pada bulan Jun iaitu kira-kira 18 bulan dari sekarang.

"Malah kita perlu mengatur terutama dari segi koordinasi pegawai dan sebagainya dari sekarang kerana ia akan melibatkan empat tempat (daerah)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, semalam.

Negara yang mempunyai kira-kira 222 juta rakyat itu dilaporkan akan menganjurkan temasya sukan dwi-tahunan itu di Jakarta, Surabaya, Bandung dan Semarang. Ahmad Shabery berkata, mesyuarat itu juga telah bersetuju untuk menggunakan beberapa pendekatan berbeza pada masa depan terutamanya kesungguhan negara lain mendapat ranking (kedudukan) yang lebih tinggi di Sukan SEA.

"Walaupun kita tidak melihat kepada itu, namun ia perlu diberi perhatian kerana ia adalah kehendak rakyat.

"Seperti acara bola sepak yang merupakan sukan utama juga perlu mengekalkan prestasi untuk mempertahankan pingat emas. Kita pernah memenanginya di Jakarta pada 1979," katanya.


TINJU berjaya menghadiahkan satu pingat emas menerusi Muhamad Farkhan Haron (kiri) pada temasya di Laos baru-baru ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, program untuk Sukan SEA 2011 akan dirancang dan dilaksanakan secepat mungkin.

"Kita juga akan mengamalkan perbelanjaan lebih berhati-hati kerana peruntukan MSN juga telah dikurangkan tahun depan yang pasti akan melibatkan program dan aktiviti persatuan sukan.

"Jadi kejayaan di Laos seperti yang dibuktikan oleh sukan tinju dan silat akan diambil kira kerana menjadi amalan kita memberikan bantuan yang lebih kepada sukan-sukan yang berjaya," katanya.

Mesyuarat itu juga bersetuju menghantar 12 jurulatih tempatan ke Kanada tahun depan bagi mendalami ilmu kejurulatihan selama setahun.

"Setakat ini kita belum menetapkan 12 jurulatih terbabit namun ia mungkin menjurus kepada empat jenis sukan yang terlibat di dalam program Road To London 2012 (badminton, memanah, lumba basikal dan terjun)," katanya.


TUGAS berat menanti skuad B-23 negara untuk mempertahankan pingat emas pada temasya di Indonesia 2011 nanti.


Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan pihaknya menumpukan pembangunan di peringkat bawah usia yang muda, tidak seperti sebelum ini yang membabitkan penumpuan atlet elit sahaja.

Mengenai Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang dikatakan terlalu kecil berbanding negara lain di Asia Tenggara, Zolkples berkata, perkara itu sedang dikaji pihaknya.

"Pelbagai aspek perlu diambil kira kerana Sukan SEA tidak diutamakan seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik malah kita juga membayar gaji, elaun dan penginapan yang mungkin tidak diberikan negara lain," katanya. Malaysia membayar RM5,000 kepada atlet negara yang berjaya memenangi pingat emas serta RM1,000 jika berjaya memecahkan rekod kejohanan manakala Indonesia memberikan ganjaran AS$20,000 (RM68,000), Singapura (AS$10,000 - RM34,000) dan Laos (AS$2,000 - RM6,800) untuk pingat emas.

Sementara itu, mengenai Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini, Zolkples berkata, terdapat enam jawatankuasa kecil yang membentangkan perkembangan mengenai 100 resolusi yang diluluskan tahun lepas.

0 comments:

Post a Comment

top