VIENTIANE, Laos - "Kami sudah melangkah sejauh ini (ke final), jadi kami tidak akan melepaskan peluang terbaik untuk meraih pingat emas buat negara."
Demikian jelas kapten skuad bola sepak negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak menjelang pertemuan menentang Vietnam pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang ini.
Aidil berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya sudah bersedia menghadapi ancaman Vietnam yang sebelum ini membenam skuad negara 3-1 pada aksi peringkat Kumpulan A.
"Saya sedar bukan mudah untuk menghadapi final nanti tetapi dengan semangat yang semakin melonjak di kalangan pemain negara, saya percaya kami mampu mengharungi perlawanan itu dengan baik.
"Kami sudah mendapat pengajaran yang berguna pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini. Jadi setiap kelemahan kami pada perlawanan itu telah kami perbetulkan. Saya yakin suasana pada perlawanan akhir nanti tidak sama seperti aksi peringkat kumpulan lalu," kata Aidil ketika ditemui semalam.
|
|
Jelas Aidil, kedua-dua pasukan memiliki kekuatan yang seimbang dari setiap posisi dan mempunyai peluang sama rata untuk bergelar juara pada temasya Sukan SEA kali ini.
"Saya tidak rasakan Vietnam ada kelebihan berbanding skuad negara. Walaupun mereka menewaskan kami pada perlawanan peringkat kumpulan tetapi itu situasi yang berbeza. Jurulatih (K. Rajagobal) sendiri telah mengingatkan kepada kami untuk melupakan perlawanan lalu dan fokus pada final nanti.
"Semua juga sudah tahu perlawanan dengan Vietnam sebelum ini banyak menimbulkan kontroversi lebih-lebih lagi melibatkan keputusan pengadil dari Korea Selatan itu (Kim Jong Hyeok). Cuma harapan saya agar pengadil pada final nanti lebih telus dan bersikap profesional," tambah pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.
Aidil turut mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar sentiasa menjaga disiplin pada aksi final nanti bagi mengelakkan daripada mereka dikenakan hukuman daripada pengadil perlawanan.
"Kami tidak boleh bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan rentak permainan. Apa yang lebih penting, saya harap tiada pemain negara yang dikenakan kad, baik kuning mahupun merah. Jika ia berlaku, ia mungkin menyukarkan percaturan dan strategi yang dibuat oleh jurulatih," kata Aidil.
Pada aksi dengan Vietnam lalu, adik kembar Aidil, Zaquan Adha telah mengutip dua kad kuning dan secara automatik dilayangkan kad merah pada minit-minit terakhir perlawanan selain empat lagi pemain negara iaitu Ahmad Fakri Saarani, Safiq Rahim, S. Kunalan, Mohd. Sabree Mat Abu menerima satu kad kuning.
Selepas tamat perlawanan, barisan pemain muda negara yang terlalu kecewa dengan cara pengadilan Jong Hyeok bertindak 'menyerang' pengadil dari Korea Selatan itu.
"Kami sudah melupakan insiden itu. Sekarang adalah masa paling tepat untuk kami membalas dendam ke atas Vietnam," kata Aidil.
0 comments:
Post a Comment