Sasaran KOAM lebur


VIENTIANE - Jika olahraga berjaya menambah empat lagi pingat emas pada hari terakhirnya acara hari ini, sasaran lapan emas yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sebenarnya sudah musnah selepas Robani Hassan gagal memenangi saingan 110 meter lari berpagar lelaki, semalam.

Turun sebagai pilihan untuk memenangi perlumbaan, Robani bagaimanapun gagal menyaingi pencabar utamanya, Jamras Rittidet yang merampas kembali gelaran 110m berpagar buat Thailand dengan catatan rekod baru Sukan SEA, 13.89 saat.

Catatan tersebut memadam rekod lama milik pelari muda negara, Rayzam Shah Wan Sufian 13.91s yang dilakukan di Temasya Korat 2007.

Robani yang turun dengan misi merampas kejuaraan dan memecah rekod kebangsaan, 13.73s milik Nur Herman Majid bagaimanapun sekadar mencatat 14.05s untuk memenangi perak, manakala Muhammad Faiz Mohamed gagal menamatkan larian kerana terlanggar pagar untuk memberi gangsa kepada seorang lagi pelari Thailand, Suphan Wongsriphuck yang mencatat 14.16s.

Kekalahan ini merupakan satu tamparan besar buat Robani, yang terduduk kecewa sejurus melepasi garisan penamat.

"Saya kecewa... amat-amat kecewa. Saya sangat yakin untuk memecah rekod kebangsaan dan memenangi emas ketika tiba di sini tetapi semuanya tidak menjadi hari ini... ia memang sangat mengecewakan.

"Pemberian lorong memberi kelebihan buat pelari Thailand, mereka mendapat lorong di sebelah luar, sedangkan saya dan Faiz diberi lorong di sebelah dalam. Posisi itu membolehkan mereka (pelari Thailand) mudah menolak kami ketika berlari, ia memang selalu berlaku dalam perlumbaan 110m.

"Saya bernasib baik kerana tidak terjatuh walaupun hampir-hampir terlanggar panggar. Faiz lebih malang selepas dia gagal mengawal larian dan terpaksa menamatkan saingan lebih awal," kata Robani.

Menurut Robani, dia tidak berpuas hati dengan catatan yang dilakukan di Vietiane kerana yakin mampu mencatat masa yang lebih baik daripada semalam, apatah lagi dia tidak pernah tewas kepada Jamras dalam dua pertemuan mereka tahun ini.

Robani mengalahkan pelari Thailand itu pada Terbuka Malaysia, Oktober lalu, malah menewaskannya ketika kedua-dua mereka bertemu di separuh akhir Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Guangzhou, bulan lalu.

"Saya janji akan bangkit dua tahun lagi. Saya akan merampas semula kejuaraan ini pada Sukan SEA 2011, saya minta maaf banyak kerana tidak dapat menghadiahkan pingat emas kali ini," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2005 itu.

Daripada lapan pingat emas yang disasarkan di Laos, olahraga kini hanya memenangi tiga daripadanya. Dua menerusi atlet veteran, Noraseela Khalid (400m lari berpagar wanita) dan Teoh Boon Lim (20km jalan kaki lelaki), manakala satu daripada acara baling tukul besi wanita - Tan Song Hwa.

Hari ini, Malaysia meletakkan harapan kepada empat lagi acara untuk menghadiahkan pingat emas - 400 wanita (Noraseela Khalid), 1,500m (M. Vadivellan, Mohd. Jironi Riduan), lompat bergalah lelaki (Lee Hup Wei) dan lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

top