Hanya Pei Tty-Eei Hui terus gah

CHIN Eei Hui-Wong Pei Tty mengulangi kejayaan di Manila empat tahun lalu, apabila meraih emas beregu wanita selepas mudah mengalahkan pasangan Singapura, Shinta Mulia Sari-Yao Lei 21-12, 12-11, semalam.

Namun beregu lelaki utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kalah kepada juara Olimpik 2008, Hendra Setiawan-Markis Kido dari Indonesia dengan 21-17, 21-11.

Bagi Pei Tty-Eei Hui, temasya kali ini paling berjaya sepanjang penyertaan mereka dengan masing-masing membawa pulang dua emas selepas membantu pasukan wanita negara menundukkan Indonesia 3-1, Ahad ini.

"Ini boleh dianggap kejayaan paling baik buat kami dalam Sukan Sea," kata Pei Tty. "Dua emas yang diraih sudah cukup menggembirakan kami. Namun saya anggap ini adalah kejayaan skuad wanita terutama sekali dalam acara berpasukan.

"Malangnya, kita tidak dapat menambah pingat emas dalam perseorangan wanita selepas kekalahan (Wong) Mew Choo di separuh akhir," katanya.

Mengenai lawan mereka, Shinta-Yao, Eei Hui mengakui beregu dari Singapura itu bukan lawan mereka sehingga agak mudah melakar kemenangan.

"Kami tahu kekuatan lawan dan mereka sememangnya tidak begitu handal jika dibandingkan dengan beregu lain," kata Pei Tty. "Tetapi itu tidak bermakna kami mengambil mudah perlawanan, sebaliknya sentiasa fokus untuk memastikan kemenangan."

Di Manila, Pei Tty-Eei Hui mengalahkan pasangan Indonesia, Jo Novita-Greysia Poli untuk meraih emas.

Bagi Kien Keat-Boon Heong pula, kedua-duanya menyajikan permainan di bawah kemampuan sebenar apabila kerap membuat kesilapan serta tidak dapat mengekang serangan pantas Markis-Hendra untuk tewas agak mudah.BH

0 comments:

Post a Comment

top