Dapatkan emas untuk rakyat Malaysia - Aidil Zafuan


VIENTIANE - Ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak meminta rakan sepasukan supaya menutup tirai tahun 2009 dengan memenangi perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Vietnam, hari ini.

Menurutnya, setelah tiada sebarang kejuaraan diraih oleh skuad bola sepakan kebangsaan sehingga penghujung tahun 2009, dia berharap skuad kebangsaan dapat memberikan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia.

"Skuad kebangsaan gagal memenangi sebarang kejohanan tahun ini, jadi saya harap kami dapat menutup tirai 2009 dengan kejayaan iaitu memenangi perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA esok (hari ini) ," katanya.

Menurutnya, dia berharap rakan sepasukan dapat memberikan aksi yang tidak mengecewakan kerana Malaysia sudah terlalu lama menanti pingat emas acara ini.

Katanya, semangat tidak kenal erti putus asa seperti yang dipamerkan ketika menang ke atas Thailand pada aksi peringkat kumpulan perlu dikekalkan jika mahu menang ke atas Vietnam.

"Sebagai ketua pasukan tiada apa yang saya harapkan selain daripada pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti.

"Kita sudah mendapat peluang terbaik untuk mencipta sejarah membawa pulang emas apabila mara ke perlawanan akhir, jadi usah kecewa lagi kerana kesempatan sebegini tidak mudah dicapai.

"Saya yakin jika para pemain memberikan persembahan pada tahap terbaik, hajat untuk menang akan tercapai," katanya.

Mengenai kehadiran semula adiknya, Zaquan Adha yang pulih daripada masalah mata, Aidil berkata, dia tidak kisah siapa yang akan diturunkan di bahagian depan.

"Tak kisah siapa yang akan beraksi, walaupun bukan adik saya, saya hanya mengharapkan pemain yang diberi tanggungjawab merealisasikan impian pingat emas, bermain dengan baik," katanya.

0 comments:

Post a Comment

top