APA yang digapainya di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, malam kelmarin adalah sesuatu yang masih sukar untuk dipercayai Mohd Sharbinee Allawee.
Manakan tidak, daripada hampir tidak dapat menaiki penerbangan ke Vientiane, dia sebaliknya mengakhiri cabaran bola sepak temasya ini dengan pengiktirafan baru selaku penjaga gol utama negara dan kalungan pingat emas di leher.
"Memang saya tidak pernah duga semua ini. Gembira sangat-sangat. Ini Sukan Sea pertama dan juga yang terakhir buat saya. Terima kasih kepada jurulatih, K Rajagobal, yang berani untuk percaya dengan saya," kata Sharbinee, 22.
Sharbinee sebelumnya bersaing dengan Syed Adney Syed Hussein untuk tempat selaku penjaga gol kedua negara - di belakang Farizal Marlias - sebelum dia memanfaat sebaik mungkin peluang beraksi ketika menentang Kemboja di peringkat kumpulan, selepas Farizal tersisih akibat penggantungan.
Semenjak itu, posisi selaku benteng terakhir negara kekal miliknya - diperkukuh aksi mantap ketika menentang Thailand selain kekentalan aksi bertemu Laos di separuh akhir dan penampilan persembahan penuh yakin serta tenang ketika menyerap asakan Vietnam di final.
Tuah juga dikongsi pemain sayap lincah, S Kunanlan, yang juga hadir selaku pemain simpanan, tetapi diberi kepercayaan untuk memikul cabaran dalam barisan utama pada dua perlawanan terakhir negara.
"Pingat emas ini memang sesuatu yang amat berharga buat saya. Selepas menang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan, saya dapat pula menang emas Sukan Sea bersama pasukan ini," katanya. BH
0 comments:
Post a Comment