Tiga atlit jadi penyelamat maruah KOAM

SELEPAS kemarau pingat emas kelmarin, skuad negara bangkit pada hari terakhir pertandingan untuk menyumbang tiga emas bagi menyelamatkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang tersasar daripada lapan yang diletakkan.

Roslinda Samsu memulakan pungutan emas negara apabila mudah memenangi acara lompat bergalah wanita dengan rekod baru kejohanan, 4.15 meter, disusuli Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki dengan paras 2.18m dan terakhir Mohd Zafril Mohd Zuslaini menerusi 400m lelaki, yang menjadikan keseluruhan enam emas diraih skuad negara.

Sasaran dua emas melalui 1,500m lelaki dan 400m wanita tidak kesampaian apabila masing-masing, Mohd Jironi Riduan menduduki tempat kedua dengan masa 3:47.34 saat dan Noraseela Khalid menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 54.32s.


Secara keseluruhan, ia pungutan emas terburuk negara dalam sejarah Sukan Sea, sejak ditukar namanya daripada Sukan Seap pada 1977 serta menunjukkan kemerosotan daripada tahun ke tahun apabila dua tahun lalu, tujuh emas diperolehi. Sekali lagi, atlit senior menjadi penyelamat.

“Saya puas hati dengan ketinggian dilakukan," katanya. "Memang saya nak menang emas dan memecahkan rekod Sukan Sea dan berhasil melakukan kedua-duanya," kata atlit berusia 26 tahun dari Kuala Nerang, Kedah itu.

Hup Wei, juga tidak banyak tentangan apabila berjaya melepasi ketinggian 2.18m dengan pencabar terdekatnya, Pramote Pumurai hanya melepasi 2.14m.

"Saya cuba untuk mengatasi rekod Sukan Sea (2.24m) tetapi tidak berjaya," kata atlit berasal dari Dengkil, yang kini berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). "Tapi yang penting, saya dapat mempertahankan emas yang dimenangi di Korat."

Seela pula, tersilap percaturan dalam percubaan pertamanya memenangi emas 400m apabila bermula pantas tetapi kehabisan tenaga menuju garisan penamat, sekali gus dipintas pemenang, Treewadee Yongphan dari Thailand, yang mencatat 54.16s.

Seela sekadar gangsa dengan 54.32s dan perak menjadi milik pelari Myanmar, Kay Khine Lwin, 54.25s. Dalam 4x100m wanita, rangkaian pelari negara sekadar di tempat kelima dengan masa 45.69s. BH

0 comments:

Post a Comment

top