KETIADAAN strategi antara dua pelari negara - Mohd Jironi Riduan dan M Vadivellan dalam acara 1,500 meter menyaksikan Malaysia kempunan untuk meraih emas tatkala jaguh dari Vietnam, Nguyen Dinh Coung mudah menjinakkan kedua-duanya dalam perlumbaan, semalam.
Sama seperti apa yang berlaku dalam perlumbaan 800m dua hari ini, apabila tiada kerjasama atau strategi antara Jironi dan M Mathialagan, yang turut menyaksikan Malaysia kempunan, emas, ia juga tiada bezanya semalam apabila kedua-dua wakil negara tampak berlari mengikut strategi masing-masing.
Jironi mengakui tidak ada strategi antara dirinya dan Vadivellan semalam, sama ketika dia bersama Mathialagan dalam acara 800m.
"Memang tidak ada kerjasama untuk merangka strategi kemenangan," katanya sebaik berakhir akhir 1,500m di mana dia menduduki tempat kedua. "Masing-masing berlari mengikut arahan jurulatih masing-masing kerana kami berlatih di bawah jurulatih berbeza.
"Jika kerjasama antara kami dapat menghasilkan kemenangan apa salahnya. Apa yang penting ialah negara mendapat emas dan saya pasti kami bersedia untuk berkorban bagi memastikan kemenangan.
"Tetapi setahu saya memang tidak ada strategi perlumbaan dirangka atau dibincangkan sebelum perlumbaan 1,500m atau 800m," katanya.
Jironi ketika ini dibimbing jurulatih dari Iran, Azizollah Mirzaei, Vadivellan di bawah tunjuk ajar bekas jaguh 1,500m S Muthiah manakala Mathialagan pula dilatih K Jayabalan.
0 comments:
Post a Comment