'Saya harap ibu, bapa lebih faham'

PADA usia 19 tahun, Tan Song Hwa sudah mula menampilkan diri dalam acara baling tukul besi di temasya serantau ini dengan penyudah tempat keempat di Manila 2005.

Di Korat dua tahun lalu, dia sekali lagi tidak dapat meletakkan dirinya dalam kedudukan yang baik, dengan kejuaraan ketika itu menjadi milik Siti Shahidah Abdullah, dan dia pula hanya sekadar pengiring.

Tetapi di Vientiane, Song Hwa melakar namanya selaku jaguh baru Asia Tenggara apabila memenangi acara itu dengan catatan rekod baru Sukan Sea, 56.41 meter dan paling penting, dia kini pengganti kepada Siti Shahidah, sekali gus meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara ini.

Bagi Song Hwa, dia berharap kemenangannya itu akan meyakinkan lagi keluarganya untuk terus menyokongnya apabila pernah satu ketika ibunya memintanya memikirkan semula penyertaannya.

“Sebelum ini keluarga terutama ibu saya tidak begitu memberikan galakan kepada saya untuk beraksi,” kata atlit berusia 23 tahun dari Kuantan, Pahang itu. "Tetapi secara perlahan, mereka mula berlembut dan memberikan sokongan selepas saya mencapai beberapa kejayaan.”

"Dan saya pasti mereka akan lebih yakin dan memberikan sokongan yang lebih kuat kepada saya selepas kejayaan saya di sini,” katanya.

Apa yang menarik, Song Hwa kini melihat dirinya untuk mengambil alih teraju daripada Siti Shahidah, yang sudahpun bersara daripada acara ini.

"Saya mengenali Siti Shahidah sejak berusia 13 tahun," katanya. "Dan saya gembira kerana dapat mengambil alih peranannya selaku atlit tukul besi utama negara," kata anak bongsu daripada lima adik beradik itu.

Tumpuan utama Song Hwa sekarang ialah untuk melayakkan diri ke Sukan Asia dan Komanwel tahun depan di mana dia harus melepasi jarak 61m untuk melayakkan diri.

Satu jarak yang mustahil? Tidak, buat atlit yang sekalipun mempunyai tubuh yang agak kecil tetapi cekal orangnya.

0 comments:

Post a Comment

top