VIENTIANE, Laos - Pencapaian skuad menembak negara pada Sukan SEA XXV mengecewakan.
Ini merupakan kali pertama mereka gagal memenangi pingat emas untuk negara sejak Sukan SEA 1999 di Brunei.
Dengan berakhirnya cabaran acara menembak semalam, sasaran Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia untuk membawa pulang empat pingat emas sekaligus memperbaiki pencapaian dua emas pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lepas tidak menjadi kenyataan.
Pada temasya kali ini, penembak negara sekadar membawa pulang enam pingat perak dan lima gangsa menerusi 16 penembak lelaki dan wanita.
Mereka terdiri daripada Hafiz Adzha, Hasli Izwan Amir Hasan, Khalel Abdullah, Mohd. Hadafi Jaafar, Mohd. Nurrahimin Abdul Halim, Muhamad Zubair Mohammad manakala penembak wanita diwakili Bibiana Ng, Joseline Lee, Muslifah Zulkifli, Nor Ain Ibrahim, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nur Suryani Mohamed Taibi, Shahera Rahim Raja dan Siti Nur Masitah Mohd. Badrin.
Pengurus pasukan menembak, Datuk Musa Omar berkata, sasaran yang diletakkan itu adalah munasabah namun nasib langsung tidak menyebelahi penembak negara. "Jika diikutkan, enam pingat perak yang diperoleh itu boleh bertukar kepada emas namun tuah tidak menyebelahi kita. Tidak apa yang dapat dikatakan lagi," katanya.
Biarpun negara mengumpul 11 pingat namun negara diletakkan dalam senarai terbawah pungutan pingat dalam acara menembak yang dikuasai oleh pasukan Thailand yang mengumpul 10 emas, tujuh perak dan 11 gangsa. "Jika dilihat secara keseluruhan, setiap penembak negara yang menyertai temasya kali ini tidak pulang dengan tangan kosong dan membawa sekurang-kurangnya satu pingat setiap seorang," katanya.
Menurutnya, penembak negara bagaimanapun harus menerima kenyataan bahawa mereka telah mengecewakan negara.
"Pelbagai perkara dilakukan kerajaan mahupun pihak persatuan bagi membantu penembak termasuklah menyediakan program khas untuk mereka. Namun akhirnya di dalam lapangan menembak, semua keputusan terletak sepenuhnya di bahu penembak," katanya.
Musa berkata, penembak negara perlu berusaha lebih kuat dan mengkaji semula kelemahan yang ada berbanding penembak dari negara lain.
Terdahulu dalam acara berpasukan wanita pistol 25m, pasukan negara yang terdiri daripada Bibiana, Siti Nur Masitah dan Joseline hanya meraih pingat gangsa dengan mengumpul 1,672 mata di belakang pasukan Thailand yang meraih emas dan Vietnam, perak yang masing-masing mengumpul 1,693 dan 1,687 mata.
Dalam acara individu pula, Bibiana meraih perak dengan mengumpul 778.9 mata manakala Prucksakorn Tanyaporn dari Thailand menggondol emas dengan 782.2 mata dan penembak dari Vietnam Ha Pham Thi memungut 769.8 mata untuk pingat gangsa. KOSMO
0 comments:
Post a Comment