'Usah ulangi kesilapan'


Kepakaran K. Rajagobal (kanan) dalam mencongak strategi skuad negara bakal menentukan kemampuan mereka membawa pulang emas pertama Sukan SEA kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu pada Temasya Kuala Lumpur 1989.


VIENTIANE - "Usah ulangi kesilapan seperti mana ketika kita kalah kepada Vietnam jika mahu menang".

Itu amanat jurulatih K. Rajagobal kepada pemain skuad bola sepak negara yang akan mengharungi perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Vietnam hari ini.

Apa yang pasti kekalahan kepada Vietnam pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, memberi pengajaran berguna supaya pemain tidak bertindak balas terhadap keputusan pengadil yang tidak menyebelahi skuad negara.

Mengulas perlawanan akhir hari ini, Rajagobal berkata: "Dari segi semangat, sudah pasti para pemain akan turun berhabis-habisan menentang Vietnam nanti.

"Ini merupakan 'halangan' terakhir untuk kita menamatkan penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan SEA.

"Kita akan turun dengan yakin dan saya tidak mengharapkan yang lain selain daripada kemenangan.

"Kita akan menentang pasukan yang mengalahkan kita di peringkat kumpulan. Ia memberikan kita menilai sejauh mana kekuatan mereka.

"Pada saya, Malaysia dan Vietnam sama handal, cuma kita kalah tempoh hari kerana pemain kita gagal mengawal emosi mereka apabila dengan pantas bertindak balas terhadap keputusan pengadil.

"Apabila emosi menguasai diri, permainan jadi tidak menentu.

"Jadi saya menasihatkan pemain supaya jangan sesekali bertindak balas terhadap apa juga keputusan pengadil.

"Beraksilah dengan tenang, berikan persembahan bertenaga. Jika kita beraksi dengan cara permainan kita, saya yakin kemenangan akan memihak kepada kita," katanya.

Mengenai kehadiran semula penyerang Zaquan Adha ke dalam skuad kebangsaan selepas pulih daripada masalah mata, Rajagobal berkata, tiada jaminan Zaquan akan mendapat tempat secara automatik ke dalam skuad.

Katanya, dia perlu bersikap adil terhadap pemain lain apatah lagi mereka telah menunjukkan permainan yang bagus di sepanjang ketiadaan Zaquan yang digantung dua perlawanan.

"Adalah tidak adil jika saya mengetepikan sama sekali pemain yang membawa skuad ini mara ke final.

"Saya tetap menaruh keyakinan kepada mereka untuk perlawanan akhir nanti. Namun ini bukan bermakna Zaquan akan diketepikan sama sekali," katanya.

Tambah Rajagobal, dia berharap malang yang menimpa skuad bola sepak di sepanjang Sukan SEA termasuk kes Zaquan mengamuk dan digantung perlawanan, masalah pemain cedera dan digantung dengan cara yang tidak sepatutnya, akan bertukar menjadi tuah.

"Saya berdepan dengan pelbagai masalah kali ini. Bermula dengan kes Zaquan yang bukan sahaja sakit mata tetapi digantung dua perlawanan, Amirulhadi Zainal digantung tiga perlawanan, penjaga gol utama digantung sehingga Baddrol Bakthiar diletakkan sebagai penjaga gol simpanan ketika menentang Kemboja.

"Namun saya mengharungi semua itu dengan tabah dan kita berjaya ke final. Ini semua dugaan dan saya harap ia memberi tuah kepada kita dengan membawa pulang emas acara bola sepak Sukan SEA untuk rakyat Malaysia," katanya.

0 comments:

Post a Comment

top