|
|
VIENTIANE - Tanpa diletakkan sebarang harapan, trio penembak negara berjaya merangkul pingat perak acara 50 meter rifel 3 posisi berpasukan lelaki pada Sukan SEA XXV di Lapang Sasar, Kompleks Sukan Nasional semalam.
Tampil buat kali pertama di pentas Sukan SEA, gandingan Mohd. Hadafi Jaafar, Mohd. Nurrahimin Abdul Halim dan Muhamad Zubair Mohamad, trio muda negara itu mengumpul keseluruhan 3,400 mata.
Agak malang apabila mereka hanya ketinggalan 28 mata di belakang trio Vietnam, Thanh Pham Ngoc, Hung Va Thanh dan Hoang Nguyen Duy yang meraih pingat emas. Gandingan dari Thailand, Majcharcheep Tavarit, Majchacheeap Varavut dan Kongnamchok Komkrit pula meraih gangsa selepas mengutip 3,380 mata.
"Saya tetap berpuas hati dan berbangga kerana dapat meraih pingat perak.
"Acara ini tidak diletakkan sebarang sasaran pingat tetapi kami masih berjaya meraih pingat buat skuad menembak negara. Ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
"Jika kami terus digandingkan bersama, saya percaya kami mampu memperbaiki prestasi kami pada Sukan SEA akan datang," kata Hadafi ketika ditemui semalam.
Nurrahimin pula menambah: "Walaupun kami masih baru tetapi semangat kami mengatasi segala-galanya. Mungkin pengalaman yang menyebabkan kami tewas kepada trio Vietnam.
"Ini satu permulaan yang baik kepada kami kerana kami masih muda. Apa pun masih banyak yang perlu kami belajar untuk berada setanding dengan penembak-penembak yang sudah mencipta nama dalam sukan ini," kata Nurrahimin. KOSMO
0 comments:
Post a Comment