MATLAMAT merasai kembali nikmatnya bergelar juara temasya serantau kian dihampiri pemain wanita utama negara, Wong Mew Choo, selepas mengetepikan tentangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Maria Kristin Yulianti di suku akhir, semalam.
Mew Choo, muncul juara pada temasya 2003 di Vietnam, mengawal rentak di sebalik tentangan cuba dijelmakan Maria untuk menang 21-13, 21-12 dan akan menentang pilihan utama dari Thailand, Salakjit Ponsana di separuh akhir.
"Saya sudah melihat permainannya semalam (kelmarin) dan tahu apa yang perlu dilakukan. Lagipun, pergerakannya agak terbatas - mungkin kerana kecederaan lutut yang dialaminya. Apapun, saya tetap gembira kerana menghampiri sasaran ke final," katanya.
Lydia Cheah Li Ya turut mara ke separuh akhir perseorangan wanita ketika dua beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry melalui jalan berbeza untuk turut mara ke kelompok empat terakhir.
Kien Keat-Boon Heong menang 21-19, 21-6 mengatasi beregu Singapura, Hendra Wijaya-Jeffrey Wong Hao Cong manakala Fairuzizuan-Zakry mempamer aksi kurang memberangsangkan apabila dipaksa bermain tiga set sebelum menundukkan satu lagi beregu republik itu, Tan Yew Loong-Yeo Zhao Jiang 21-12, 19-21, 21-13.
Lydia menewaskan pemain Singapura, Zhang Biewen yang juga pilihan keempat, 21-19, 21-18 dan akan menentang juara remaja dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon yang mengejutkan pilihan kedua dari Indonesia, Adriyanti Firdasari 21-19, 21-15.
0 comments:
Post a Comment